KUALA LUMPUR: Lawatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, ke China dari 19 hingga 22 September ini bakal mencatat sejarah penting dalam hubungan diplomatik Malaysia-China yang menyambut ulang tahun ke-50 pada tahun ini.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa lawatan baginda itu adalah lembaran baharu dalam langkah memperkukuh persahabatan erat antara Malaysia dengan negara Tembok Besar itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Sultan Ibrahim bertitah, hubungan dengan China membawa pelbagai manfaat kepada Malaysia sepanjang lima dekad yang lalu.
“Saya berharap lawatan ini juga menjadi asas kepada pengukuhan persahabatan ke dekad seterusnya.
“Saya yakin terdapat pelbagai bidang boleh diterokai bersama dengan kepakaran yang ada, antaranya dalam sektor ekonomi digital, pembangunan hijau dan perindustrian,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Titah Seri Paduka itu dikongsikan dalam kenyataan Istana Negara.
Menurut kenyataan itu, baginda dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri China, Li Qiang, diikuti perjumpaan bersama Presiden, Xi Jinping.
Selain itu, Seri Paduka akan berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing, COMAC, untuk meninjau perkembangan teknologi penerbangan China yang terkini.
Sultan Ibrahim turut dijadualkan bertemu diaspora Malaysia di China, serta berkenan menamakan semula Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University sempena nama baginda. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.