comscore
Tumpuan :
Nasional

Lawatan Anwar ke Sabah bawa penyelesaian masalah air

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual tiba di sini bagi menghadiri majlis penutupan sambutan Pesta Kaamatan dalam lawatan kerja sehari ke Sabah, hari ini.

Majlis penutupan sambutan berkenaan akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Majlis yang berlangsung di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Anwar yang dijangka tiba pada kira-kira jam 10 pagi nanti juga dijadual berucap sebelum beredar untuk ke program ramah mesra bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Markas 5 Briged, Kem Lok Kawi di Putatan pada tengah hari nanti.

Turut dijadual hadir pada majlis bersama warga ATM itu yang bermula pada kira-kira jam 12 tengah hari nanti ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Selesai program di Kem Lok Kawi, Perdana Menteri kemudian dijadual beredar ke program Semarak Perpaduan Rakyat Bersempena Sesi Ramah Mesra Bersama Paparian di Kinarut, Papar.

Majlis yang dijadual bermula jam 2.30 petang itu turut dijangka dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Program padat Perdana Menteri sepanjang hari ini kemudian diakhiri dengan Program Temu Anwar yang diadakan di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada jam 5 petang nanti.

Lawatan Anwar ke Sabah hari ini turut dijangka membawa berita mengenai penyelesaian masalah air yang dihadapi rakyat negeri ini.

Ia berdasarkan ucapannya pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di ibu negara pada awal bulan ini, yang mana Anwar berkata, akan ke Sabah dalam masa dua minggu berhubung masalah berkenaan.

Loading...
Terkini