comscore
Tumpuan :
Nasional

Lawatan kerja ke Tokyo beri keberhasilan pelbagai bidang – TPM

 

Foto: Zahid Hamidi / Facebook

TOKYO: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan lawatan kerja beliau selama empat hari ke Tokyo memberi manfaat besar kepada Malaysia dalam pelbagai bidang terutama bagi sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, selain itu Malaysia juga mendapat faedah dalam aspek pendigitalan apabila berpeluang bertemu dengan dua syarikat terkemuka dunia dalam bidang itu dalam lawatan berkenaan.

Foto: Zahid Hamidi / Facebook

“Lawatan hari terakhir di Tokyo ini memberi keberhasilan dari segi bukan hanya dalam bidang TVET, tetapi meliputi pelbagai lain terutama apabila dua syarikat terlibat dalam bidang pendigitalan dan bertaraf dunia memberi input (bagaimana data raya boleh membantu) dalam isu perubahan iklim dan pemanasan global,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Masahito Moriyama di sini hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid yang tiba di sini pada 17 Februari lalu sebelum ini mengadakan lawatan ke Institut Teknologi Nasional, Kolej Tokyo (Tokyo KOSEN) bagi mempelajari Model KOSEN.

Model KOSEN menekankan konsep pembelajaran TVET lebih menyeluruh dan terangkum dengan menyediakan laluan pembelajaran selama lima tahun kepada pelajar yang cenderung memilih bidang itu seawal usia 15 tahun.

Semalam, beliau dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat Kejuruteraan daripada Institut Teknologi Shibaura (SIT) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pengukuhan kerjasama pendidikan teknikal Malaysia-Jepun.

Penganugerahan itu berikutan usaha berterusannya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, bagi memastikan TVET terus menjadi platform meningkatkan kemahiran pelajar serta pengukuhan jalinan kerjasama industri kedua-dua pihak.

Selain itu, Datuk Seri Ahmad Zahid turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kerjasama Perkongsian Inovasi antara MyDIGITAL Corporation dan Toshiba Digital Solutions Corporation bagi aplikasi teknologi data raya, serta melawat NEC Super Tower.

Foto: Zahid Hamidi / Facebook

Mengulas lanjut mengenai bidang TVET, beliau berkata bukan sahaja Kementerian Pendidikan Tinggi, malah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mempunyai institusi TVET perlu melakukan tindakan susulan terhadap pendedahan yang diperoleh dalam lawatan kerja itu.

“Begitu juga empat Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang terlibat dalam pendidikan teknikal… perlu dikoordinasikan bagi meningkatkan taraf TVET negara dengan bidang-bidang baharu yang telah digunakan dalam sistem pendidikan teknikal di Jepun,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata dalam lawatan itu, delegasi Malaysia turut berpeluang mempelajari cara Jepun menangani isu bencana alam, susulan negara “Matahari Terbit’ itu sering berdepan situasi seperti banjir, tsunami dan perubahan iklim yang sangat mendadak.

“Tentu kita mahu MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) dan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) serta jawatankuasa banjir di peringkat negeri dan daerah akan mendapat manfaat apabila segala maklumat terbaharu yang digunakan di Jepun dapat digunakan di Malaysia.

“Ini terutamanya apabila pengurangan risiko bencana dapat dipelajari daripada sistem amaran awal yang sudah lama diamalkan di Malaysia, dan Jepun mempunyai sistem yang lebih maju, dan ia harus dipelajari oleh MetMalaysia dan NADMA,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut meneroka kemungkinan melaksanakan sistem satelit bagi mengurangkan risiko terhadap masalah jerebu, sepertimana yang digunakan oleh Jepun.

Mengenai pertemuan dengan Masahito, Timbalan Perdana Menteri berkata antara dibincangkan adalah berhubung pembukaan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia yang dijangka pada tahun ini.

Beliau berkata Masahito turut berhasrat melawat Malaysia Mei depan.

Universiti Tsukuba yang ditubuhkan pada tahun 1872 merupakan salah satu daripada 86 universiti awam dan tersenarai dalam 10 universiti terbaik di Jepun.

Esok, Datuk Seri Ahmad Zahid akan meneruskan lawatan kerja ke Osaka, dan dijadual menghadiri sesi libat urus bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Osaka (OCCI) dan Sesi Meja Bulat: ‘Menghubungkan Ekosistem Halal Antara Malaysia dan Jepun bagi Meningkatkan Perdagangan, Pelaburan dan Pekerjaan Berkualiti’.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia, turut dijadual mengadakan lawatan ke Sanda Shokuniku Kosha Co., Ltd untuk melihat operasi pusat penyembelihan Jepun dalam pengeluaran dan pembekalan daging lembu halal.

“Semoga apa yang kita pelajari sepanjang lawatan ini di Tokyo akan disambung di Osaka untuk mendapat pendedahan dalam bidang lain yang terkait dengan saya pengerusi sesebuah jawatankuasa,” katanya.

BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini