Tumpuan :
Nasional

Lawatan kerja sulung PM di Brazil bermula

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di sini bagi lawatan kerja empat hari antara lain bagi pertemuan dua hala dengan Presiden Brazil, Inacio Lula da Silva dan menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).

Kehadiran Anwar dalam lawatan sulung ke negara tersebut adalah atas jemputan Inacio Lula yang mencerminkan hubungan diplomatik yang mesra antara kedua-dua negara.

Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Pangkalan Tentera Udara Galeao pada jam 10.24 malam waktu tempatan hari ini (9.24 pagi waktu Malaysia Ahad, 17 November).

Ketibaan beliau; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Brazil, Gloria Tiwet dan perwakilan Malaysia.

Mengiringi beliau dalam pesawat sama dari Kaherah, Mesir adalah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Si.

Delegasi Malaysia turut disambut oleh Kerajaan Brazil yang diwakili Timbalan Komander Pangkalan Tentera Udara Galeao, Leftenan Kolonel Buch Itamaraty dan Kaunselor Kementerian Luar, Orlando Celso Timponi.

Anwar kemudian menerima tabik hormat daripada pasukan tentera Brazil sebelum ke hotel penginapan bagi meneruskan mesyuarat pra-majlis.

Jadual padat menanti Perdana Menteri sepanjang empat hari sehingga 19 November ini di ibu negara Brazil itu termasuk pertemuan dengan Inacio Lula untuk membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia-Brazil termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri semikonduktor serta mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin tersebut juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala termasuk ASEAN, BRICS dan G20.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, lawatan terbabit juga amat signifikan kerana Malaysia dan Brazil meraikan ulang tahun hubungan diplomatik yang ke-65 pada tahun ini.

“Penyertaan Malaysia di G20 adalah di bawah Kepengerusian Brazil. Kali terakhir Malaysia menghadiri Sidang G20 pada tahun 2015 di Turkiye selaku Pengerusi ASEAN ketika itu.

“Tahun 2025 amat signifikan kepada Malaysia dan Brazil. Tatkala Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, Brazil akan menjadi Pengerusi BRICS dan turut menghoskan Persidangan Pihak-pihak (COP) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Perubahan Iklim yang ke-30 (COP30),” katanya.

Ketika Sidang Kemuncak G20, Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara dalam sesi mengenai ‘Fight Against Hunger and Poverty dan Reform of Global Governance Institutions’.

Beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dari Negara Anggota Kumpulan G20 untuk membincangkan isu dua hala dan pelbagai hala yang berkepentingan bersama.

Selain itu, Anwar dijadualkan akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Brazil bagi mempromosikan peluang perniagaan khususnya dalam sektor minyak dan gas serta teknologi digital.

Wisma Putra sebelum ini memaklumkan, penglibatan Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak G20 menekankan hasrat Malaysia untuk memajukan kerjasama ekonomi, menggalakkan kesejahteraan dan pembangunan inklusif serta reformasi tadbir urus global.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini