comscore
Tumpuan :
Nasional

Lawatan kerja TPM ke Jepun dijangka perkasa TVET, industri halal Malaysia

FOTO: NSTP

TOKYO: Memantapkan agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara serta mengukuhkan Malaysia sebagai hab dalam industri halal global, adalah antara fokus utama lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Jepun bermula hari ini.

Lawatan kerja tujuh hari sehingga 23 Februari merupakan kunjungan sulung beliau ke negara matahari terbit itu, sejak pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI pada Disember 2022, jelas mencerminkan keutamaan Malaysia dalam kedua-dua bidang berkenaan yang mempunyai pasaran luas di peringkat antarabangsa.

Ketika ditemui wartawan Malaysia di sini, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Jepun, Anwar Udzir berkata, menerusi lawatan itu, taraf latihan dalam bidang teknikal dan vokasional negara dijangka dapat dipertingkatkan.

“Lawatan itu juga dijangka memberi banyak peluang kepada syarikat Malaysia yang berminat untuk menceburi dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat di sini dalam industri halal di Jepun,” katanya, sambil menjelaskan bahawa pemahaman mengenai sektor halal di negara berkenaan, masih boleh dikembangkan.

Datuk Seri Ahmad Zahid dijadual tiba di sini malam ini, dijangka menghadiri beberapa acara semasa lawatan kerja tersebut ke Tokyo dan Osaka.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan kunjungan itu adalah lawatan peringkat tinggi yang pertama antara kedua-dua negara, sejak penaiktarafan hubungan dua hala Malaysia-Jepun kepada Perkongsian Komprehensif Strategik pada Disember 2023.

Lawatan itu menggariskan komitmen untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor, demi manfaat bersama kedua-dua negara.

Sejak 2015, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut.

Pada 2023, nilai dagangan dengan Jepun berjumlah RM156.64 bilion (USD34.39 bilion) yang merangkumi 5.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

Sehingga Jun 2023, sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (USD27.43 bilion), dan menyediakan pekerjaan kepada 337,758 orang. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini