comscore
Tumpuan :
Nasional

Lawatan PM ke Jerman tumpu pertingkat hubungan dua hala, perniagaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

 

BERLIN: Malaysia akan memanfaatkan peluang untuk meningkatkan hubungan dua hala dan perniagaan dengan Jerman selaku rakan dagang terbesarnya dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi dari 10 hingga 15 Mac ini ke negara itu.

Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr Adina Kamarudin berkata. Datuk Seri Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau di Jerman, Canselor Olaf Scholz selain mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier.

“Datuk Seri Anwar dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala dan global semasa pertemuannya dengan dua pemimpin Jerman itu,” katanya kepada media Malaysia di sini.

Steinmeier mengadakan lawatan negara ke Malaysia pada 16 hingga 19 Februari tahun lalu dan turut melawat dua pelabur terbesar Jerman di Malaysia, iaitu pengeluar semikonduktor Infineon dan pakar teknologi perubatan B. Braun.

Dalam lawatannya, Steinmeier berkata Malaysia akan menjadi lokasi penting bagi syarikat Jerman untuk mempelbagaikan perniagaan dan pelaburan, dan katanya terdapat lebih 700 syarikat Jerman berpangkalan di Malaysia pada masa ini yang mewujudkan 65,000 pekerjaan.

Menurut Datin Paduka Dr Adina, Datuk Seri Anwar yang dijangka tiba di sini pada 10 malam pada Ahad (5 pagi, Isnin), akan bertemu pemimpin industri terkemuka dalam enam pertemuan dan sesi libat urus, kebanyakannya melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terkemuka negara itu yang berperanan sebagai tulang belakang ekonomi Jerman.

Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr Adina Kamarudin

Pada Isnin, beliau dijadual memulakan lawatannya dengan melawat kilang Siemens Energy di Huttenstrabe, kata Adina sambil memaklumkan syarikat itu yang telah membuat pelaburan besar di Malaysia pada masa ini sedang memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui.

Siemens Energy menghasilkan tenaga boleh diperbaharui daripada matahari, angin, air dan biojisim, dan penggiat utama dalam peralihan tenaga negara yang menggaji kira-kira 26,000 pekerja.

Pada Selasa, Datuk Seri Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan kira-kira 30 kapten industri dan pelabur berpotensi dari Eropah dalam perbincangan meja bulat mengenai perniagaan.

“Syarikat Jerman sentiasa memberikan tumpuan kepada Malaysia berikutan pelbagai insentif yang ditawarkan, terutama insentif cukai yang disesuaikan dan peranan sokongan yang dilaksanakan oleh agensi kita seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Mereka amat selesa dengan pusat sehenti kita… kemudahan menjalankan perniagaan dengan agensi seperti MIDA, Jabatan Imigresen menawarkan sokongan yang diperlukan, serta populasi yang menggunakan bahasa Inggeris,” katanya.

Datin Paduka Dr Adina berkata, isu seperti eksport minyak sawit Malaysia ke Eropah dan perubahan iklim dijangka dibincangkan semasa pertemuan Datuk Seri Anwar dengan Timbalan Canselor dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Tindakan Iklim, Robert Habeck sebelum Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada acara SME Future Day pada Rabu.

Sebanyak 3.2 juta PKS di Jerman atau dikenali sebagai “Mittelstand” menggaji 56 peratus daripada lebih 38.4 juta pekerja pada 2021.

Datuk Seri Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia sebelum menunaikan solat dan solat sunat tarawih di Masjid Sehitlik di sini.

Semasa di Berlin, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Yayasan Körber, iaitu sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memfokus kepada isu sosial dan politik.

Datuk Seri Anwar akan turut berkunjung ke Hamburg bagi menghadiri Majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101 (Ostasiatisches Liebesmahl) anjuran Persatuan Perniagaan Asia Pasifik Jerman, dan dijadualkan menyampaikan ucaptama.

Menurut Datin Paduka Dr Adina, berikutan perang Ukraine yang menjejaskan Jerman, terutama dari segi ketersediaan gas yang murah, negara itu kini meninjau Asia Tenggara untuk mempelbagaikan perniagaan.

Semasa lawatan itu, Perdana Menteri akan disertai oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Jerman adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU sejak tahun 2000 manakala Malaysia merupakan rakan perdagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota Asean.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (US$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (US$13.62 bilion) pada 2022.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini