comscore
Tumpuan :
Nasional

Lawatan PM sangat berhasil kukuhkan hubungan Putrajaya-Riyadh

Anwar menerima kunjungan hormat Dr. Muhammad Sulaiman Al Jasser, Presiden Islamic Development Bank (IsDB) di Jeddah, pada 23 Mac lalu. – FOTO: PMO

KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini disifatkan sangat berhasil kerana mengukuhkan hubungan antara Putrajaya-Riyadh.

Ia boleh dianggap sebagai sangat berhasil kerana dicapai dalam tempoh pentadbiran Anwar yang sangat singkat sebagai Perdana Menteri ke-10, iaitu baharu masuk bulan keempat.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, berkata ada cubaan pihak tertentu untuk menggariskan lawatan berkenaan sebagai satu bentuk kegagalan dan pembaziran dana rakyat.

“Saya mengambil maklum terhadap suara-suara daripada beberapa pihak berkepentingan yang sengaja mempolitikkan isu berkenaan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi baru-baru ini.

“Saya terpanggil untuk menjelaskan perkara ini tatkala saya turut bersama dalam delegasi bersama Perdana Menteri ke sana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, jadual Perdana Menteri sangat padat dan tersusun di mana beliau mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan badan Liga Muslim Dunia di Makkah selain menyaksikan beberapa pemeteraian MoU penting membabitkan lapangan perniagaan dan industri.

“Anwar turut menekuni beberapa permasalahan mendesak yang merundung dunia Arab dan Islam dan juga menyantuni komuniti serta mahasiswa Malaysia di Arab Saudi.

“Ingin dimaklumkan juga pihak kerajaan Arab Saudi telah meminta untuk lawatan ini dilanjutkan bagi menyusun pertemuan dengan pimpinan kerajaan Arab Saudi tetapi beliau terpaksa menolak secara baik kerana beliau telah dijadualkan untuk hadir ke majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri selain kunjungi rasmi ke Phnom Penh, esok.

“Perdana Menteri juga akan ke Hainan dan Beijing pada Rabu bagi bertemu Presiden Xi Jinping dan rakan sejawatnya Premier Li Qiang.

“Saya menggesa kepada pihak yang kekontangan modal dan bankrap isu untuk menghentikan polemik ini dan bersama mendukung usaha dan upaya Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh imej Malaysia selain memantapkan kerjasama dan hubungan luar negara,” katanya.

Loading...
Terkini