Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
RIO DE JANEIRO: Lawatan sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil berjaya menghasilkan potensi eksport sebanyak RM6.8 bilion (AS$1.57 bilion) bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Menurut Perdana Menteri, nilai potensi eksport itu adalah hasil daripada perbincangan dengan pemimpin korporat dan industri daripada 28 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan di negara berkenaan.
“Dalam mesyuarat meja bulat dengan 56 pemimpin industri perniagaan dari 28 syarikat terkemuka Brazil dan 19 Malaysia, (berjaya hasilkan) potensi eksport RM6.8 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media akhir bersama media Malaysia yang membuat liputan sempena lawatan sulung beliau dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, antara produk yang dikenal pasti adalah perkhidmatan minyak dan gas (O&G), semikonduktor, minyak sawit, komponen aeroangkasa serta produk makanan dan minuman.
Tambahnya, lawatan itu juga berjaya meneroka peluang kolaborasi perniagaan yang akan meningkatkan lagi hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.
Syarikat Brazil yang terlibat termasuk syarikat terkemuka yang telah mengimport barangan dan perkhidmatan Malaysia bernilai RM1.16 bilion (AS$267.1 juta) pada 2023.
Ia merangkumi industri minyak O&G, tenaga boleh baharu, aeroangkasa, peranti perubatan dan penjagaan kesihatan, semikonduktor, teknologi maklumat dan komunikasi, perlombongan, industri halal serta minyak sayuran dan lemak masak.
Brazil adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia pada tahun lalu dalam kalangan negara Amerika Latin, selepas Mexico.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil bagi tempoh Januari hingga September lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 19.8 peratus kepada RM14.83 bilion (AS$3.2 bilion) berbanding RM12.38 bilion (AS$2.74 bilion) bagi tempoh sama pada 2023.