Tumpuan :
Nasional

Lawatan sulung PM ke Peru hasil potensi eksport RM1.24 bilion

FOTO: Ihsan PMO

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

LIMA: Lawatan rasmi sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Peru meningkatkan hubungan dua hala, selain menghasilkan potensi eksport RM1.24 bilion (AS$0.3 bilion) susulan inisiatif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat Peru menyatakan minat untuk mengimport bahan binaan berkaitan keluli dan kaca, peralatan dan produk perubatan, minyak sawit, bahan kimia serta produk makanan dan minuman dari Malaysia.

“Tujuh syarikat pembuatan Peru dikenal pasti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk teroka peluang pelaburan di Malaysia (iaitu) di dalam sektor pemprosesan makanan, perkhidmatan logistik bersepadu dan farmaseutikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media akhir bersama media Malaysia yang membuat liputan Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31.

Sebelum ini, Anwar mengadakan pertemuan dengan 22 pemimpin industri dan perniagaan dari 17 syarikat Peru.

Syarikat tersebut mewakili pelbagai industri termasuk farmaseutikal, peralatan dan produk perubatan, bahan binaan, produk berasaskan bahan kimia, makanan kesihatan serta produk barangan pengguna.

Setakat ini, syarikat berkenaan telah mengimport barangan bernilai RM435.27 juta (AS$95.44 juta) dari Malaysia.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyertai mesyuarat meja bulat bersama pemimpin industri Peru bagi meneroka pelbagai peluang kerjasama perniagaan dan berkongsi aspirasi negara berkaitanhal perdagangan serta pelaburan, sekali gus mengajak mereka untuk melabur di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini