SHAH ALAM: Lebih 100 kanak-kanak GISB Holdings (GISBH) yang belum dituntut keluarga masih mengikuti modul pemulihan khas yang dilaksanakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata kesemua kanak-kanak itu masih ditempatkan di rumah kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di ibu negara.
Katanya, masih terdapat sebahagian daripada kanak-kanak itu belum dituntut keluarga dan dalam proses pengesahan identiti.
“Kita (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sehingga kini masih meneruskan modul pemulihan khas kepada kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang tidak berdaftar.
“Cara sembahyang (solat), bacaan, hukum dan sebagainya sebab selama ini mereka tidak dapat pendedahan itu. Untuk akademik biasa, itu tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya kepada pemberita selepas melepaskan Konvoi Bantuan Banjir MAIS ke Kelantan, Terengganu dan Kedah di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan MAIS membangunkan modul khas itu dengan kerjasama JAIS dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) sejak 1 Oktober lalu.
Seramai 20 guru al-Riqab turut terbabit mengajar di rumah kebajikan berkenaan bagi pemulihan akidah ke atas 261 kanak-kanak yang terlibat dalam isu GISBH.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.