comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 1,000 hadir majlis bacaan Yasin sempena Keputeraan Agong

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 jemaah menyertai majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Masjid Negara, di sini, hari ini.

Majlis bermula kira-kira jam 7 malam dengan bacaan Yasin dan doa selamat dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni sebelum diteruskan dengan solat Maghrib.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Ahmad Zahid kemudiannya bersama-sama jemaah menyertai solat hajat bagi memohon kesejahteraan dan perlindungan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam menghadapi cuaca panas susulan peralihan monsun ketika ini.

Majlis hari ini adalah sebahagian daripada acara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah pada Isnin ini, yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, pada 30 Julai 2019.

Esok khutbah khas Jumaat bersempena dengan sambutan berkenaan juga akan diadakan di Masjid Negara.

Loading...
Terkini