comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 10,000 kes demam denggi dilapor setakat minggu ketiga Januari

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Lebih 10,000 kes demam denggi telah dilaporkan di negara ini setakat minggu ketiga tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kumulatif kes demam denggi yang direkodkan sejak awal tahun sehingga Minggu Epidemiologi ke-3 (ME 3/2024) adalah sebanyak 10,677 kes berbanding 7,058 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, terdapat dua kematian akibat komplikasi demam denggi dicatatkan sehingga ME 3/2024 berbanding tiga kematian bagi tempoh sama pada tahun 2023.

“Pada ME 3/2024 (sepanjang 14 hingga 20 Januari), jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 3,971 kes berbanding 3,525 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan 446 kes.

“Tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME 3/2024,” katanya dalam kenyataan mingguan berhubung situasi semasa demam denggi di Malaysia, hari ini.

Jelasnya, sebanyak 127 lokaliti ‘hotspot’ denggi dikenal pasti pada ME 3/2024 berbanding 136 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 105 lokaliti di Selangor, 13 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Perak dan Negeri Sembilan (3), Pulau Pinang (2) serta Kedah (1).

Bagi survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata, terdapat satu kes direkodkan pada ME 3/2024 menjadikan jumlah kumulatif penyakit tersebut adalah dua kes.

Sementara itu, sebanyak 97 sampel darah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Mengulas lanjut, tambahnya aktiviti berkumpul bersama keluarga dan faktor pergerakan orang ramai secara meluas terutama semasa musim perayaan menyebabkan risiko jangkitan demam denggi meningkat.

Justeru, beliau mahu premis dipastikan dalam keadaan bebas daripada tempat pembiakan Aedes serta tidak menjadi punca jangkitan denggi.

“Peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa sambutan perayaan mestilah diurus dengan baik dan dilupuskan di tempat yang telah disediakan supaya tidak menjadi punca pembiakan nyamuk Aedes.

“Amalkan langkah-langkah pencegahan kendiri seperti memakai pakaian berwarna cerah dan menutup anggota badan yang terdedah terutama sewaktu menjalankan aktiviti di luar rumah pada waktu puncak gigitan nyamuk Aedes iaitu pada jam 5 pagi hingga 8 pagi dan jam 5 petang hingga 8 malam.

“Cegah denggi sebelum terkena. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini