comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lebih 100,000 tiket terjual sempena Aidilfitri

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Lebih 109,890 tiket Perkhidmatan Train Elektrik (ETS), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah terjual sempena perayaan Aidilftri menjelang April depan.

 

Penjualan tiket lebih tertumpu kepada tarikh antara 19 hingga 25 April, selain cuti sempena hari pekerja pada 28 April hingga 1 Mei depan.

Tinjauan Zharif dan kru Buletin TV9 di Kuala Lumpur Sentral mendapati, walaupun banyak tiket terjual secara dalam talian, namun masih ada yang mencuba nasib untuk membuat pembelian di kaunter.

Rata-rata pengguna yang ditemui menyifatkan perkhidmatan ETS antara pilihan yang mudah, selamat serta selesa berbanding pengangkutan awam lain, selain terjamin lebih pantas untuk tiba ke destinasi.

“Sebab nak elak jem kemudian cepat la 4-5 jam dah sampai ke destinasi. Cukup tak tiket? Memang lah kalau kita nak tarikh yang kita minta tu kita kena lebih awal membeli tetapi dah last minit macam ni terimalah seadanya. So kena beli tarikh awal dari cuti sekolah tu,” kata seorang penjawat awam, Syahmiza Mansor ketika ditemui di KL Sentral.

Begitu juga dengan seorang pelajar IPTS, Nur Airin Khairin Abu Khar yang menyifatkan ETS adalah pengangkutan yang paling meyakinkan untuk ke destinasi dan memandangkan perkhidmatan itu juga dalam kategori syarikat KTMB.

Menurut Pengurus Kanan Komunikasi Strategik KTMB, Noor Shahdiella Abd Manan, pihaknya telah membuat persediaan awal bagi menerima jumlah penumpang yang ramai, dengan melaksanakan penambahan tiket serta kekerapan perjalanan.

Ia termasuk komited terhadap perancangan operasi yang rapi untuk memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang terus terjamin.

Beliau berkata, persediaan bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri di bulan Ramadan ini, pihaknya sentiasa memastikan keselamatan penumpang dengan penyelenggaraan pengangkutan awam sebelum bergerak serta memastikan kebersihan bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Ujarnya, bagi memastikan perjalanan yang lancar, pengguna dinasihatkan untuk tiba sekurang-kurangnya sejam lebih awal di stesen dari waktu berlepas bagi memudahkan urusan di pintu masuk serta mengelak daripada insiden terlepas tren.

Pengguna juga diwajibkan untuk memakai pelitup muka sepanjang perjalanan.

Lebih 13,800 tiket ETS tambahan ditawarkan bersempena cuti Aidilfitri dan ini merupakan kelaziman kepada orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan ETS sebagai pengangkutan mereka untuk pulang ke kampung halaman sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Loading...
Terkini