PUTRAJAYA: Seramai 122,062 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2024/2025 dikenal pasti perlu mengikuti program intervensi bagi meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata angka itu mewakili 27.5 peratus daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun Satu yang berdaftar di sekolah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau berkata, seramai 62,928 daripada keseluruhan murid yang perlu mengikuti program intervensi belum menguasai literasi dan numerasi di tahap penguasaan minimum, iaitu Tahap Penguasaan 1.
Selain itu, katanya, 45,465 murid dikenal pasti belum menguasai literasi manakala 13,669 murid belum menguasai numerasi.
“Program intervensi ini dijalankan selama tiga bulan mulai Ogos lalu selepas murid berkenaan menjalani proses saringan yang dibuat sebulan sebelumnya.
“Jumlah murid yang ditempatkan bagi sesebuah kelas (intervensi) bergantung kepada kesesuaian diatur pihak sekolah dan guru.
“Guru akan mengetahui tahap kompetensi dan pencapaian murid dalam aspek literasi dan numerasi atau kedua-duanya.
“Kebiasaannya di sekolah, kumpulan lebih kecil adalah lebih baik dan mudah untuk murid diberi bimbingan bagi memastikan mereka lebih kompeten,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Pada Mac lalu, KPM memperkenalkan empat langkah bagi menangani isu keciciran pelajaran menerusi intervensi kurikulum murid Tahun Satu.
Empat langkah itu adalah dokumen penjajaran kurikulum standard sekolah rendah (KSSR) (Semakan 2017)
Sementara itu, Azman berkata, murid dalam kumpulan intervensi akan dinilai semula bagi mengenal pasti tahap penguasaan kemahiran 3M selepas tiga bulan menjalani program berkenaan.
Katanya, kumpulan murid berkenaan akan dimasukkan semula ke arus perdana sekiranya didapati berjaya menguasai kemahiran 3M pada Tahap Penguasaan 1 selepas menjalani program intervensi.
Bagaimanapun, katanya, murid akan dimasukkan ke program intervensi seterusnya jika belum berada pada tahap penguasaan minimum.
“Kebiasaannya selepas (murid) menjalani intervensi selama tiga bulan, angkanya (jumlah pelajar belum menguasai literasi dan numerasi) semakin mengecil.
Beliau berkata, murid kumpulan intervensi itu tetap akan beralih ke Tahun Dua sekiranya belum menguasai kemahiran 3M di Tahap Penguasaan 1 pada akhir kalendar akademik 2024/2025.
“Dia (murid dalam kumpulan intervensi) tetap naik (ke Tahun Dua) tetapi kita akan memperkukuhkan kumpulan murid ini melalui intervensi berikutnya.
“Sekiranya kalendar akademik sudah beralih, kumpulan murid ini tetap akan beralih ke Tahun Dua, tetapi mereka perlu melalui proses intervensi untuk memperkukuh keupayaan mereka dalam kurikulum.
“Setakat ini, kita tiada dasar yang menyekat mana-mana murid beralih dari Tahun Satu ke Tahun Dua atau seterusnya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.