comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 13,000 liter diesel dirampas dalam serbuan di Dungun, Kemaman

FOTO: KPDN

DUNGUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas kira-kira 13,270 liter minyak diesel dalam dua serbuan berasingan di Dungun dan Kemaman, kelmarin.

Pengarah KPDN negeri Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, berkata dalam serbuan di sebuah tapak projek di Dungun, pihaknya merampas 13,000 liter diesel dan sebuah tangki penyimpanan diesel dianggarkan bernilai RM62,800.

“Serbuan dilakukan KPDN dengan bantuan polis kira-kira jam 4 petang, hasil risikan kira-kira dua minggu lalu.

“Syarikat terbabit gagal mengemukakan permit dan surat kebenaran, berikutan itu seorang penyelia tapak warga tempatan, berusia 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

FOTO: KPDN

Saharuddin berkata, dalam serbuan kedua, pihaknya berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Kerteh kira-kira jam 12 tengah hari.

“Serbuan dilakukan KPDN dengan kerjasama polis hasil risikan sejak dua bulan lalu. Sebuah lori yang sudah diubahsuai dengan tangki tambahan berisi minyak diesel kira-kira 270 liter turut dirampas. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM54,000,” katanya.

Katanya, modus operandi, lori diubahsuai digunakan bagi membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak di Kerteh dan Paka sebelum dijual semula kepada pembeli di pasaran gelap sekitar kawasan perindustrian berdekatan.

“Tiga lelaki tempatan iaitu pemandu lori, juruwang dan pemilik stesen minyak berusia 20 hingga 70 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini