comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 1,300kg dadah ‘jalan laut’ bernilai RM27 juta dilupus

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Khairul Anwar Bachok (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM27 juta yang dilupuskan di Kualiti Alam, Bukit Pelanduk. – Foto NSTP

SEREMBAN: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang didalangi warga tempatan dikesan mengguna jalan laut untuk menyeludup bahan terlarang ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand dekat Satun.

Dadah dari Laos, Kemboja dan Myanmar dibawa ke ibu negara untuk pasaran tempatan dan ada yang dibawa terus ke selatan Semenanjung untuk diseludup ke negara jiran dan Australia mengguna jalan laut.

Kegiatan itu didedahkan menerusi beberapa serbuan dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Perlis, Kedah dan Johor sejak 2020 yang mana pelbagai jenis dadah seberat 1,301 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM27 juta dilupuskan, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Khairul Anwar Bachok berkata, pelupusan dadah jenis ganja, heroin, morfin, methaphetamine dan MDMA dilaksanakan selepas menerima perintah rasmi mahkamah.

“Dadah ini adalah hasil rampasan dilakukan Zon Maritim Kuala Kedah, Kedah/Perlis dan Tanjung Sedili serta Batu Pahat, Johor dari 2020 hingga awal 2023.

“Proses pelupusan dijalankan dengan menggunakan kaedah pembakaran melalui inkubator yang diuruskan Cenviro Sdn Bhd. Kaedah ini cara selamat dan berkesan untuk memusnahkan dadah tanpa mencemari alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria dan Pengarah Maritim Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa.

Khairul Anwar, dadah berkenaan cuba diseludup masuk ke negara ini melalui negeri di utara dipercayai untuk pasaran tempatan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan Malaysia turut dijadikan transit sebelum diseludup keluar melalui Johor.

“Di utara, kami mendapat maklumat daripada pihak berkuasa Thailand yang memaklumkan sumber dadah ini dari Laos, Kemboja dan Myanmar. Ada yang diedarkan untuk pasaran tempatan dan dibawa ke ibu negara.

“Sejak 2018 hingga sekarang, seramai 86 warga tempatan dan 20 warga asing ditahan bagi tiga Zon Maritim ini. Bagaimanapun, kebanyakan dadah yang dilupuskan hari ini tidak membabitkan tangkapan suspek yang mana proses perbicaraan lebih cepat untuk dilucuthakkan,” katanya.

Tegas beliau, Maritim Malaysia akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negara khususnya di lokasi titik panas yang disyaki menjadi lokasi kegiatan jenayah penyeludupan dadah di laut.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini