comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 14,000 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah di Perak sejak Januari tahun ini

IPOH: Polis menahan 14,234 individu atas pelbagai kesalahan dadah di negeri ini sejak Januari hingga bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Polis (DCP) Zulkafli Sariaat berkata, daripada jumlah itu sebanyak 7,989 individu ditahan kerana kesalahan urin; 4,386 individu (memiliki dadah); 1,771 individu (mengedar dadah) dan 88 individu di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Beliau berkata dalam tempoh sama, pihaknya turut merampas pelbagai dadah berjumlah RM5.9 juta dengan syabu, heroin dan ketamin mencatatkan rampasan tertinggi.

“Kebanyakan individu ditahan merupakan dalang, perancang serta pembiaya sindiket yang telah ditumpaskan pada tahun ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zulkafli berkata harta pengedar dadah yang disita pula dianggar bernilai RM7.1 juta termasuk rumah, tanah, barang kemas dan kenderaan yang dikenakan tindakan di bawah Akta Perlucuthakan Harta 1988.

Tambahnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak juga telah melupuskan pelbagai barang kes dadah bernilai RM545,676 yang telah selesai perbicaraan di mahkamah.

Beliau berkata ia membabitkan 4,313 kertas siasatan yang dibuka sejak 2000 hingga tahun lepas.

“Dadah berkenaan ialah heroin, ganja, syabu, ketamin, ekstasi serta ketum yang kesemuanya dilupuskan di tapak pelupusan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan dan Papan, Ipoh,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini