comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 17,000 anggota KKM bersedia hadapi banjir

Foto Hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Lebih 17,000 anggota Kementerian Kesihatan (KKM) daripada pelbagai pasukan bersedia bagi menghadapi bencana banjir dan Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 6,397 anggota daripada pasukan perubatan yang akan melawat dan memberi rawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan 4,688 anggota daripada pasukan kesihatan melakukan pemantauan, pencegahan serta kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.

“Selain itu, Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS) dengan 5,964 anggota memberikan dan menyelaraskan perkhidmatan sokongan psikososial kepada mangsa dan petugas, manakala Pasukan Penilaian Pantas (RAT) dan Pasukan Tindak Pantas (RRT) dengan 1,770 anggota bertanggungjawab memberi respons bagi mencegah dan mengawal kejadian wabak semasa banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beberapa siri mesyuarat kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir telah diadakan antara Ibu Pejabat KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Surat Arahan Persediaan Menghadapi Banjir MTL juga telah diedarkan kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri dan institusi KKM sejak 21 September lalu.

Menurutnya, JKN telah mengemaskini maklumat peralatan dan kenderaan serta keperluan logistik lain dan telah bersiap sedia untuk digunakan ketika banjir bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan.

“Stok bekalan ubatan mencukupi di fasiliti kesihatan untuk tiga bulan dan stok tambahan tiga bulan disimpan oleh pembekal yang sentiasa bersedia untuk digunakan apabila diperlukan oleh KKM.

Stok bekalan kit ujian RTK-Antigen COVID-19, ubatan COVID-19 dan vaksin juga mencukupi.

“Semua JKN juga telah mengenal pasti fasiliti kesihatan alternatif kepada fasiliti kesihatan yang berisiko banjir bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat sekiranya fasiliti kesihatan tersebut terjejas operasi akibat banjir,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, bagi menghadapi cabaran banjir dan penularan COVID-19, KKM telah mengeluarkan Garis Panduan Pencegahan dan Pengurusan COVID-19 di PPS Mangsa Bencana sebagai panduan kepada semua agensi dan anggota yang terlibat dalam memberi tindak balas semasa bencana banjir.

Foto: NSTP

Garis panduan itu memberi penekanan kepada aspek pencegahan COVID-19 di PPS yang perlu diamalkan dan diberi perhatian oleh semua penghuni dan agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan dan kebajikan mangsa di PPS.

“(Antaranya) amalan mencuci tangan yang betul serta etika batuk dan bersin yang betul perlu diamalkan sepanjang masa. Pemakaian pelitup muka amat digalakkan kepada semua mangsa yang berada di PPS dan diwajibkan kepada mereka yang positif COVID-19.

“Mangsa banjir bergejala dan disyaki COVID-19 di PPS perlu menjalani ujian COVID-19 dan diasingkan di tempat khas atau dirujuk ke hospital bagi yang memerlukan isolasi, pemantauan dan rawatan lanjut. Langkah ini adalah penting bagi mengelakkan berlakunya kejadian kluster COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS,” katanya.

Beliau berkata, sehingga jam 9 pagi tadi, terdapat 419 mangsa banjir ditempatkan di empat PPS iaitu masing-masing dua PPS di Selangor dan Perak.

Pasukan perubatan dan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat telah digerakkan bagi memberi perkhidmatan kepada mereka.

“Orang ramai juga perlu peka dengan arahan semasa daripada pihak berkuasa dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri bagi mencegah penyakit-penyakit lain yang sering terjadi semasa musim banjir.

“Elak bermain dengan air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman penyakit leptospirosis (jangkitan kuman kencing tikus) dan meloidosis yang ditularkan melalui air banjir yang tercemar.

Gunakan alat pelindung diri seperti but getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutamanya jika melibatkan banjir lumpur,” katanya.

Noor Hisham turut menasihatkan mangsa banjir untuk minum air yang telah dimasak dan makan makanan yang bersih bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, hepatitis A dan acute gastroenteritis (AGE).

“Sentiasa amalkan penjagaan kebersihan persekitaran. Semasa banjir, bekas-bekas menakung air akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles. Ini menyebabkan populasi nyamuk bertambah
dan meningkatkan penyebaran penyakit bawaan nyamuk seperti demam denggi, chikungunya dan malaria.

“Sila dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di PPS atau fasiliti kesihatan yang berhampiran jika mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk dan sebagainya,” katanya.

Maklumat lanjut langkah-langkah pencegahan dan garis panduan bagi pencegahan COVID-19 di PPS boleh dirujuk di laman sesawang https://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/garis-panduan

Loading...
Terkini