SINGAPURA: Lebih 2.7 juta pengundi akan memilih Presiden baharu Singapura pada pilihan raya hari ini, yang menyaksikan persaingan tiga penjuru.
Tiga calon itu ialah bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Ng Kok Song, bekas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam dan bekas Ketua Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd, Tan Kin Lian.
Pusat mengundi dibuka mulai jam 8 pagi hingga 8 malam ini.
Sebanyak 1,264 pusat mengundi disediakan melibatkan 36,000 petugas pilihan raya.
Menurut laman sesawang Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD), Presiden ialah Ketua Negara dan memegang jawatan selama enam tahun.
Presiden mempunyai dua peranan penting iaitu sebagai simbol dan penyatu Singapura yang berbilang kaum serta sebagai penjaga rizab lampau Singapura dan integriti perkhidmatan awam.
Pilihan raya Presiden Singapura yang pertama diadakan pada 28 Ogos 1993.
Presiden Halimah Yacob yang berkhidmat sebagai presiden kelapan Singapura sejak 2017 bakal menamatkan tugasnya pada 13 September ini.
Pada Mei lalu, Halimah yang juga Presiden wanita pertama dalam sejarah Singapura, mengumumkan beliau tidak bertanding semula untuk mempertahankan jawatannya. – BERNAMA