comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 2,000 orang asli Pos Balar dan Pos Bihai dapat manfaat baik pulih jalan rosak

Foto: NSTP

GUA MUSANG: Lebih 2,000 masyarakat orang Asli suku kaum Temiar di tiga pos pedalaman di sini akan menerima manfaat bagi kerja-kerja membaik pulih jalan rosak yang kini dalam pembinaan.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan Terengganu Roslina Bun, kerja-kerja baik pulih itu membabitkan laluan dari Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Bihai.

“Untuk kawasan pedalaman ini kita tahu mereka menghadapi masalah dari segi jalan yang rosak teruk.

“Jadi bagi mengatasi sementara isu jalan yang rosak teruk ini pihak jabatan melaksanakan kerja-kerja untuk baik pulih jalan yang mana kita lakukan secara tumpuan kepada kawasan-kawasan yang dilihat mengalami kerosakan yang sangat kritikal.

“Kawasan yang terbabit adalah terutamanya di laluan dari Pos Bihai ke Pos Balar,” katanya.

Foto: NSTP

Penduduk Pos Bihai, Along Angah, 40, berkata kerja-kerja baik pulih jalan itu sangat dinantikan oleh penduduk di kawasan itu.

Katanya, kerana masalah jalan yang rosak penduduk sukar untuk keluar dari Pos terbabit untuk membeli barang keperluan dan menjaul hasil tanaman.

“Kerja-kerja baik pulih jalan yang rosak ini sangat dinantikan oleh penduduk di Pos Bihai yang menjadikan jalan ini sebagai laluan utama untuk keluar masuk.

“Malah keadaan jalan yang berbatu dan berlumpur sangat bahaya kepada kami penduduk di sini namun hanya itu pilihan yang kami ada,” katanya.

Foto: NSTP

Manakala menurut Aman Pandak, 53, dia berterima kasih kepada pihak JAKOA yang prihatin akan masalah kami di sini selain menjaga kebajikan Orang Asli di pedalaman.

“Dengan kerja-kerja baik pulih jalan yang dilakukan ini kami dapat menggunakan jalan lebih selesa terutama untuk menghantar anak kesekolah di Pos Balar,” katanya yang tinggal di Pos Belatim.

Loading...
Terkini