comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 257 pokok bernilai lebih RM1.4 juta dirampas PGA7

Foto: Briged Tenggara / Facebook

RANTAU PANJANG: Cubaan seorang lelaki menyeludup lebih 257 pokok bernilai lebih RM1.4 juta gagal apabila ditahan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), semalam.

Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup pokok berkenaan iaitu tujuh pokok jenis Livistona Rotundifolia dan lebih 250 pokok jenis Focus Chinese tanpa dokumen yang sah dan ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di tepi jalan di pekan Rantau Panjang.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan dan rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota PGA7 selepas mendapat maklumat dari pihak berkuasa Thailand berkaitan aktiviti penyeludupan pokok.

Katanya, pasukan operasi menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan tugas.

Foto: Briged Tenggara / Facebook

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah treler jenis Volvo mendapati tujuh pokok jenis Livistona Rotundifolia dan lebih 250 pokok jenis Focus Chinese tanpa dokumen yang sah ditemui di belakang kenderaan itu.

“Suspek adalah seorang lelaki warga tempatan dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup pokok berkenaan dari Thailand ke pasaran tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggaran rampasan bernilai lebih RM1.4 juta dan kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5 dan Peraturan Kuarantin Tumbuh-Tumbuhan 1981.

Katanya, suspek dan hasil rampasan diserahkan ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.

“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini