KUALA LUMPUR: Ratusan warga asing ‘membanjiri’ pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, di sini, bagi memohon pulang ke negara asal di bawah Program Repatriasi Migran yang bakal berakhir pada 31 Disember ini.
Inisiatif diperkenalkan bermula 1 Mac lalu memberi peluang kepada warga asing yang melakukan kesalahan imigresen untuk pulang ke negara asal secara sukarela dengan kadar kompaun lebih rendah.
Tinjauan media baru-baru ini mendapati warga asing terutama dari Indonesia dan Bangladesh dilihat beratur di pejabat JIM berkenaan seawal jam 8 pagi.
Setakat ini JIM Kuala Lumpur telah merekodkan sejumlah 27,349 warga asing memohon untuk mengikuti program berkenaan.
Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, ia mendapat sambutan baik daripada warga asing yang mahu pulang ke negara asal dengan jumlah kutipan mencecah RM13.12 juta.
Menurutnya, setakat ini permohonan diterima membabitkan seramai 19,561 warga asing lelaki, wanita (6,402) dan kanak-kanak (1,386).
“Pada bulan ini menyaksikan jumlah warga asing yang hadir ke pejabat JIM Kuala Lumpur semakin bertambah memandangkan program itu akan berakhir penghujung bulan.
“Setakat ini, paling ramai menyertai program itu adalah warga Indonesia diikuti India, Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Nepal,” katanya.
Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk memberikan pengecualian pendakwaan dan menawarkan kompaun kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) yang menyerah diri untuk pulang ke negara asal atas tiga kesalahan.
Ia membabitkan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) iaitu masuk atau tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dikenakan kompaun sebanyak RM500, tinggal lebih masa (RM500) dan melanggar syarat pas (RM300).
Mengulas lanjut, Wan Mohammed Saupee berkata, dokumen yang perlu dibawa ialah tiket penerbangan pulang dan dokumen perjalanan sah yang dikeluarkan oleh negara asal mereka atau kedutaan negara masing-masing yang berada di Malaysia.
Bagi yang tiada sebarang dokumen, katanya, warga asing perlu merujuk pihak kedutaan untuk mendapatkan dokumen yang membolehkan mereka pulang ke negara asal.
Beliau menyeru warga asing menggunakan peluang ini untuk pulang ke negara asal secara sukarela tanpa diambil tindakan, sebaliknya hanya perlu membayar kadar kompaun ditetapkan.
“Ketika ini, kita (JIM Kuala Lumpur) memproses lebih 350 permohonan setiap hari.
“Memandangkan Kuala Lumpur mempunyai jumlah Pati yang ramai dan menghadapi kesukaran serta kekangan mendapatkan janji temu di pejabat JIM, Jalan Duta, mereka dinasihatkan pergi ke mana-mana pejabat JIM di negeri berdekatan atau lokasi lain bagi mengelakkan kelewatan selain mengurangkan waktu menunggu untuk proses berkenaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pihaknya tidak melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga untuk berurusan dengan warga asing bagi memudah cara permohonan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.