KUALA KRAI: Sekurang-kurangnya 37 rumah melibatkan 200 penduduk telah ditenggelami banjir hingga paras bumbung di Kampung Mial.
Setakat ini, kampung berkenaan sudah dinaiki air mencecah lebih lima meter (m) susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Penduduk, Hanapi Ali, 64, berkata kampung berkenaan dikelilingi sungai menyebabkan limpahan airnya memenuhi kawasan penempatan itu.
Ujarnya, hasil tinjauan dilakukan penduduk sendiri mendapati 37 daripada 60 kediaman di kampung itu hanya tinggal nampak bumbung, setakat pagi semalam.
Malah, beliau berkata, penduduk di beberapa perkampungan juga terputus hubungan selepas jambatan yang menjadi laluan utama untuk ke Bandar Kuala Krai ditenggelami banjir.
“Situasi banjir kali ini adalah di luar jangkaan. Penduduk berharap hujan segera reda kerana bimbang kejadian bencana sama 10 tahun lalu kembali berulang,” katanya.
Hanapi memaklumkan, rumahnya antara kediaman yang ditenggelami banjir hingga ke paras bumbung, dan beliau sekeluarga kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Mial.
“Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan ujian daripada Allah SWT dan berharap keadaan kembali seperti biasa dalam masa terdekat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.