comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 3,500 pesawah di Kelantan rugi RM58 juta akibat kemarau

Sebahagian pesawah menunjukkan tanah padi seluas 200 hektar yang diusahakan mereka rosak akibat ketiadaan air berikutan musim kemarau.-Foto fail NSTP

KOTA BHARU: Musim kemarau yang melanda Kelantan sejak Mac lalu menyebabkan seramai 3,587 pesawah di negeri itu mengalami kerugian sebanyak RM58 juta.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Muhammad Husain berkata, kerugian itu membabitkan keluasan hampir 8,900 hektar sawah padi.

“Saya dimaklumkan tentang kerosakan akibat bencana kemarau yang dihadapi oleh para pesawah sejak Mac yang lalu.

“Jawatankuasa Penilaian Tabung Bencana Tanaman Padi Peringkat Kada melaporkan hampir 8,900 hektar sawah padi mengalami kemusnahan akibat musibah berkenaan.

“Daripada jumlah itu, kerugian ditanggung secara keseluruhan sebanyak RM58 juta di enam jajahan Kada,” katanya menerusi kenyataan media.

Jelasnya, Kada memandang serius perkara berkenaan dan sudah membentangkan satu laporan serta cadangan bantuan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk mendapatkan kelulusan di peringkat Persekutuan.

“Kada akan terus komited dan berusaha untuk mencari solusi yang terbaik bagi membantu para pesawah menghadapi kerugian yang ditanggung.

“Semoga bantuan yang dimohon mendapat kelulusan dari pihak kementerian. Kada juga berharap dan mengalu-alukan sebarang usaha dan bantuan dari mana-mana pihak terutamanya daripada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk sama-sama meringankan beban yang ditanggung oleh para petani dan pesawah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini