
KUALA LUMPUR: Seramai 23,000 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk 526 aset darat dikerahkan bagi membantu pengurusan banjir di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata antara aset yang digunakan termasuk 214 aset laut/sungai, 15 aset udara dan 269 aset sokongan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata sementara Sabah, jumlah kekuatan sumber manusia agensi tindak balas adalah seramai 14,209 orang yang digerakkan dan turut dibantu dengan kekuatan aset logistik termasuk 977 aset darat, 463 aset air dan 16 aset udara.
“Setakat jam 12 tengah hari ini, terdapat 26 daerah di negeri Sarawak dan Sabah dilanda banjir dengan penurunan jumlah mangsa kepada 15, 009 mangsa berbanding 17,637 mangsa yang dicatatkan pada jam 6 pagi tadi.
“Ia membabitkan 4,416 keluarga yang ditempatkan di 87 Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Tiga (3) daerah di Sarawak paling teruk terjejas adalah daerah Bintulu (4,928 mangsa), daerah Serian (1,966 mangsa) dan daerah Selangau (1,056 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, dengan persediaan dan koordinasi awal, kerajaan menyediakan peruntukan awal kepada semua negeri dan Agensi Tindak Balas bagi tujuan pengoperasian semasa Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025, penyelarasan yang baik dan teratur dapat dibuat dan disusun oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) .
“Saya juga mohon supaya proses pendaftaran dan pengesahan mangsa dipermudah dan disegerakan bagi mengelakkan kelewatan pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI).
“Saya akan meminta pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku urus setia kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) supaya terus memantau tahap kesiapsiagaan semua agensi terbabit di semua peringkat untuk menghadapi bencana,” katanya
Beliau berkata orang ramai diingatkan bersedia dengan beg kecemasan dan segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan apabila diarahkan.
“Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) yang beroperasi 24 jam setiap hari akan sentiasa memantau dan melaporkan situasi semasa,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.