KUALA LUMPUR: Seramai 3,880 mangsa banjir masih berada di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri yang dilanda banjir setakat pagi ini.
Di PERAK, laporan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat sedikit kepada 1,456 orang daripada 461 keluarga pagi ini berbanding 1,441 orang malam tadi dan semua mangsa berlindung di 11 PPS.
Menurut laman sesawang rasmi Public Info Banjir, paras air Sungai Bidor dan Sungai Rui di Hilir Perak telah melebihi tahap amaran manakala Sungai Kampar di Kampar dan Sungai Perak di Perak Tengah telah melebihi tahap waspada.
Di KEDAH, jumlah mangsa berkurang kepada 621 orang membabitkan 182 keluarga pagi ini berbanding 655 orang malam tadi yang berlindung di lima PPS iaitu di daerah Kota Setar dan Pendang.
Di PAHANG jumlah mangsa banjir di Temerloh berkurang kepada 1,751 orang melibatkan 529 keluarga pagi ini berbanding 1,795 orang malam tadi dan kesemua mangsa berlindung di sembilan PPS .
Di SELANGOR, 33 mangsa banjir membabitkan sembilan keluarga masih berada di satu PPS di Sabak Bernam setakat pagi ini.
Menurut laman sesawang rasmi Public Info Banjir, paras air di Sungai Bernam melebihi tahap bahaya manakala di Sungai Langat di Kuala Langat melebihi tahap waspada.
Sementara itu, di MELAKA jumlah mangsa banjir di negeri berkenaan kekal 12 orang dan ditempatkan di satu PPS di daerah Jasin setakat pagi ini manakala di PERLIS seramai tujuh mangsa ditempatkan di satu PPS membabitkan empat keluarga.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.