comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lebih 400 ditempatkan di 3 PPS susulan banjir di Selangor dan Negeri Sembilan


KUALA LUMPUR: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Selangor dan Negeri Sembilan berikutan banjir menenggelami beberapa kawasan di dua negeri berkenaan.

Di Selangor, dua PPS dibuka pada hari ini susulan hujan lebat melanda beberapa kawasan di Sungai Buloh dan Subang, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak dan PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields menempatkan 374 mangsa daripada 88 keluarga.

Beliau berkata, satu pos kawalan hadapan bomba turut dibuka di PPS SK Merbau Sempak.

Antara kawasan ditenggelami banjir di Selangor, semalam. – FOTO: NSTP

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong ditugaskan dalam operasi banjir yang membabitkan kawasan Jalan Jati di Kampung Melayu Subang; BBP Rawang dan BBP Sungai Buloh di Kampung Kubu Gajah; serta BBP Bestari Jaya di Kampung Sri Aman dan Taman Saujana Aman,” katanya dalam satu kenyataan.

Di Negeri Sembilan, satu PPS dibuka di Balai Raya Permatang Pasir, Port Dickson, awal pagi tadi, susulan kejadian banjir kilat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, dalam satu kenyataan memaklumkan PPS itu dibuka pada jam 4.08 pagi dengan menempatkan 46 orang daripada dua keluarga.

“Beberapa stesen sungai turut merekodkan bacaan pada paras berjaga-jaga dan bahaya, setakat jam 7 pagi tadi, iaitu Sungai Linggi dan Sungai Triang di Jelebu,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini