comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 40,000 kakitangan awam berisiko alami isu kesihatan psikologi kerana tekanan di tempat kerja

Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (dua dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada rakan strategik persidangan ICOPW 2024. -Foto: NSTP

KUCHING: Kegagalan menangani tekanan di tempat kerja bakal menyaksikan lebih 40,000 kakitangan awam di negara ini berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA),Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, angka itu diperoleh menerusi dapatan Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) yang dilaksanakan mulai 1 Mac hingga September 2024.

Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan secara berperingkat membabitkan semua kementerian dan agensi seluruh negara, hampir sejuta kakitangan awam melengkapkan profil MyPsyD itu.

“MyPsyD antara inisiatif terkini kerajaan untuk meningkatkan program pencegahan tingkah laku berisiko mengalami masalah kesihatan psikologi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Mengenai Kesejahteraan Psikologi 2024 (ICOPW), di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Ahmad Nadzri Mohd Hassan; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Tan Sri Sulong Matjeraie; Presiden Pusat Pertahanan Nasional, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dan Timbalan Naib Canselor Unimas Prof Dr Siti Noor Linda Taib.

Lebih 200 pakar psikologi Asia Tenggara antaranya Indonesia, Brunei, Myanmar termasuk Malaysia menghadiri persidangan dua hari anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Unimas.

Wan Ahmad Dahlan berkata, profil MyPsyD penting untuk setiap penjawat awam kerana ia bertindak sebagai indikator individu dan organisasi supaya lebih cakna dalam merangka strategi melalui pembangunan kendiri pencegahan dan intervensi yang bersasar bagi menyantuni dan melestarikan kesejahteraan pegawai awam.

“Kakitangan awam yang dikenal pasti berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi memerlukan intervensi segera bagi mengelakkan mereka daripada menghidapi kecelaruan mental.

“Sehubungan itu, berdasarkan keperluan semasa dalam bidang intervensi, pencegahan, pemulihan dan penyelidikan, maka persidangan diadakan dan diharap ia berupaya untuk membantu pembentukan landskap kesihatan mental yang lebih baik,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini