
SHAH ALAM: Lebih 50 peratus wanita di Selangor terbabit dalam bidang pekerjaan termasuk profesional dan ekonomi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata setakat 2023, pembabitan wanita dalam bidang pekerjaan adalah 56 peratus dan ia meningkat satu ke dua peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya membuktikan usaha memperdaya golongan itu berkesan.
“(Dalam pentadbiran kerajaan negeri) Ada wanita dilantik ketua jabatan seperti yang dipertua, datuk bandar serta pegawai daerah. Ini adalah manifestasi dan sangat konsisten yang kita lakukan sejak 2008.
“Kita mulakan dengan program pengarus perdana gender supaya tak ada persepsi dan stigma berkenaan wanita
terutamanya dalam membuat keputusan. Nampaknya sudah diterima dengan baik,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Himpunan Wanita Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC di sini.
Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari.
Sementara itu, Majlis Himpunan Wanita Selangor berjaya mengumpulkan seramai 1,000 orang pemimpin wanita dari pelbagai latar belakang agama, budaya, pendidikan dan sosioekonomi.
Objektif utama program ini adalah untuk memberikan pengiktirafan kepada pihak yang terbabit secara langsung dalam program pemberdayaan wanita anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS).
Selain itu, ia juga menjadi platform untuk menghargai usaha dan inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasakan wanita Selangor, serta membangkitkan semangat kepada penggerak pemberdayaan wanita untuk terus memberikan khidmat yang cemerlang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.