comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 50,000 pembayar cukai sertai PKPS sejak Jun 2023

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Hari Raya HASiL bersama media di Kuching.

KUCHING: Lebih 50,000 pembayar cukai seluruh negara sudah mula menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang mula dilaksana sejak Jun tahun lalu, melibatkan sejumlah RM890 juta cukai-cukai yang boleh dikutip oleh kerajaan membabitkan cukai pendapatan serta cukai hasil tahah.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, jumlah itu dijangka akan meningkat sebelum tarikh akhir program berkenaan pada 31 Mei depan.

Keyakinan itu susulan pelaksanaan program itu yang tidak akan mengenakan sebarang penalti kepada pembayar cukai yang menyertainya selain tidak akan membuka fail-fail cukai yang dilaporkan.

“Selepas berakhirnya program ini nanti maka jika satu kes itu diaudit, maka ada penalti yang akan dikenakanlah jika ada cukai tambahan dibangkitkan dalam lingkungan 15 hingga ke 45 peratus.

“Jumlah penalti yang dikenakan itu akan bergantung kepada sama ada kesalahan yang dilakukan itu merupakan kesalahan pertama, kedua atau ketiga,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Hari Raya HASiL bersama media di Kuching.

Menurut Abu Tariq, HASiL pada tahun lalu berjaya mengutip sejumlah RM183.4 bilion nilai cukai pendapatan, Cukai Keuntungan Harta Tanah dan Cukai Petroleum.

Manakala pada tahun ini, HASiL mensasarkan untuk mengutip sejumlah RM197 bilion cukai-cukai berkenaan di seluruh negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini