comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 500 pegawai lantikan kontrak boleh mohon perjawatan tetap KKM

Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi kumpulan 2016-2017 yang sudah berkhidmat antara lima ke enam tahun dengan KKM antara yang turut bersama-sama bertungkus lumus ketika menghadapi pandemik COVID-19. – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan dua perjawatan membabitkan sebanyak 563 pegawai lantikan kontrak pada 2016 dan 2017 layak memohon perjawatan tetap, menerusi Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Sistem SPA9) mulai Isnin depan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, proses berkenaan susulan urusan pengambilan jawatan tetap Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan 2018 hingga 2020 yang dibuka permohonannya menerusi Sistem SPA9 daripada 6 Januari hinggga 21 Januari lalu.

“Sukacita dimaklumkan bahawa Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak bagi 2016 dan 2017 boleh memohon jawatan tetap di KKM melalui Sistem SPA9 mulai 30 Januari hingga 12 Februari 2023.

“Seramai 242 Pegawai Pergigian dan 321 Pegawai Farmasi lantikan kontrak 2016 dan 2017 layak memohon jawatan tetap yang ditawarkan.

“Pegawai lantikan kontrak yang berkenaan disarankan melayari portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk berdaftar atau mengemaskini maklumat permohonan dalam sistem SPA9.

“KKM berharap Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak 2016 dan 2017 dapat membuat persediaan sewajarnya bagi urusan pengambilan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Hartal Farmasi Kontrak (HFK), sebuah gerakan yang baru ditubuhkan bagi memperjuangkan hak kebajikan golongan itu menuntut perjawatan tetap bagi Pegawai Farmasi kumpulan 2016-2017 yang sudah berkhidmat antara lima ke enam tahun dengan KKM.

Gerakan itu berpandangan, hak kumpulan terbabit dipinggir dan dinafikan untuk mendapatkan jawatan tetap kerana turut bersama-sama bertungkus lumus dengan pegawai tetap terutamanya semasa menghadapi pandemik COVID-19.

HFK mendedahkan, daripada 4,263 doktor yang berkhidmat, hanya 335 kekosongan ditawarkan untuk jabatan farmasi sambil mendakwa banyak janji palsu ditawarkan kepada mereka. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini