comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 5,000 orang dijangka berbuka puasa di atas padang Stadium Darul Makmur

Orang ramai boleh berbuka puasa di padang Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 5 April ini.- Foto: NSTP

KUANTAN: Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) menjangkakan lebih 5,000 orang akan berbuka puasa di padang Stadium Darul Makmur, di sini pada 5 April depan.

Pengurus PSDM, Izad Zainal Suffian berkata pada tarikh itu, pihaknya memberi peluang kepada orang ramai khususnya warga Kuantan merasai keseronokan berbuka puasa di atas padang stadium.

Katanya, kebenaran itu dikeluarkan sebelum padang ini dinaik taraf pada Jun depan.

“Aktiviti berbuka puasa di padang stadium ini adalah kali pertama dan mungkin yang terakhir memandangkan rumput di padang stadium ini akan ditukar dengan jenis rumput baharu.”

Menurut Izad Zainal, pihaknya juga membenarkan pengunjung untuk berbuka di kawasan tempat duduk.

“Namun, kawasan trek tidak dibenarkan orang ramai berbuka puasa untuk memastikan kemudahan itu dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui di pejabat PSDM, di sini hari ini.

Difahamkan, rumput jenis `cowgrass’ di Stadium Darul Makmur yang digunakan sejak 1973 akan ditukar kepada rumput bermuda dan kerja menaik taraf itu dijangka bermula Jun depan.

Bulan lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan supaya stadium utama di semua negeri dinaik taraf dengan memanfaatkan peruntukan bantuan geran RM500,000 daripada Kerajaan Persekutuan.

Ia menjadikan PSDM pengurusan stadium pertama di negara ini membuka pintu kepada aktiviti berbuka puasa secara umum berbanding kebiasaannya sebagai penganjur bagi perlawanan bola sepak dan konsert.

Ia juga boleh dianggap peluang pertama dalam seumur hidup dan akan dilakukan seperti aktiviti piknik awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini