comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 50,000 kenderaan guna LPT2 sempena Deepavali

Aliran trafik di Plaza Tol Gemuruh LPT2 lancar walaupun berlaku peningkatan bilangan kenderaan menjelang tengah malam ini.-FOTO: NSTP

KUALA NERUS: Lebih 50,000 kenderaan menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sempena cuti perayaan Deepavali yang akan disambut esok.

Pengurus Wilayah LPT2, Mohamad Pazli Kasim, berkata pertambahan kemasukan kenderaan sehingga 45 peratus berbanding hari biasa berikutan warga kota mengambil kesempatan sempena cuti perayaan itu untuk pulang ke kampung.

“Meskipun berlaku pertambahan kenderaan berbanding pada hari biasa namun aliran trafik masih lancar di kedua-dua arah.

“Statistik menunjukkan kenderaan yang menggunakan LPT2 untuk ke negeri ini sebanyak 17,000 pada semalam iaitu peningkatan satu peratus berbanding hari biasa, manakala hari ini jumlah kenderaan meningkat iaitu 27,000 atau 45 peratus,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Mohamad Pazli berkata, trafik dijangka akan meningkat sehingga tengah malam nanti memandangkan tol percuma akan berakhir pada tengah malam ini.

Berikutan peralihan fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang menyebabkan berlaku perubahan cuaca di negeri ini, beliau menasihatkan pengguna LPT2 agar memandu dalam keadaan berhati hati, patuhi had laju dan sentiasa peka dengan perubahan cuaca persekitaran.

Tambahnya, pengguna disarankan agar sentiasa merancang perjalanan bagi mengelakkan terperangkap di dalam kesesakan trafik yang teruk.

“Dapatkan maklumat cuaca terkini menerusi METMalaysia atau muat turun Aplikasi RakanMET dan sentiasa memantau laman sesawang LPT2 bagi mendapatkan informasi terkini berkenaan status sebarang penutupan lorong di sepanjang jajaran LPT2,” katanya.

Tinjauan di Plaza Tol Gemuruh, di sini jam 5 petang tadi mendapati trafik lengang dan aliran trafik sedikit sesak menjelang malam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini