comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 51,000 pelancong ambil kesempatan cuti panjang untuk ke Thailand

FOTO: Ihsan Imigresen ICQS Bukit Kayu Hitam/ Facebook

ALOR SETAR: Lebih 51,000 pelancong telah melalui pintu sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam untuk ke Thailand bersempena dengan cuti persekolahan dan Hari Malaysia.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, jumlah berkenaan direkodkan sejak Khamis hingga semalam dan dijangka terus meningkat.

Beliau berkata pada masa sama jumlah pelancong yang memasuki Thailand melalui ICQS Kota Putra, Kuala Nerang pada Jumaat dan Sabtu lepas adalah sebanyak 6,003 orang.

“JIM ingin mengingatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dengan baik bagi mengelakkan kesesakan dan menjamin kelancaran perjalanan serta mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata JIM Kedah telah mengambil langkah proaktif dalam menghadapi peningkatan bilangan pelancong dengan membuka enam kaunter tambahan di pintu sempadan bagi menampung keperluan.

Mohd Ridzzuan juga mengingatkan rakyat Malaysia untuk menyemak status perjalanan imigresen mereka terlebih dahulu bagi mengelak masalah di saat akhir seperti melibatkan sekatan akibat tidak membayar cukai pendapatan atau rekod kesalahan yang boleh menghalang perjalanan ke luar negara.

“Pastikan pasport sah dan lengkap sebelum ke sempadan serta sila patuhi peraturan Imigresen Thailand dan menjaga adab sebagai rakyat Malaysia di luar negara. Insurans perjalanan yang lengkap juga disarankan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak membawa masuk barang-barang larangan yang diharamkan oleh kerajaan ke negara ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini