Tumpuan :
Nasional

Lebih 7,000 pes udang tiruan sejuk beku dirampas bernilai RM50,000

KPDN Selangor sita sejumlah pes udang tiruan sejuk beku bernilai RM50,000 dalam serbuan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang, semalam. FOTO: KPDN Selangor

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menyita 7,860 unit pes udang tiruan sejuk beku bernilai RM50,000 dalam serbuan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin, berkata operasi sekitar jam 12 tengah hari itu dilaksanakan berdasarkan aduan diterima daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar berhubung terdapat aktiviti mencurigakan membabitkan cap dagangan yang diwakili.

“Kami sasarkan premis yang menjalankan perniagaan menjual pelbagai barangan mentah sejuk beku dan berdasarkan.

Makluman awal pengadu mengesyaki terdapat barangan mentah sejuk beku jenis ‘shrimp paste’ menggunakan cap dagang palsu.

“Ketika serbuan, pasukan bersama wakil pemilik cap dagang menjumpai barangan mentah sejuk beku jenis shrimp paste yang disyaki tiruan dalam milikan premis untuk tujuan perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut ditahan seorang pekerja stor premis berkenaan iaitu lelaki tempatan berusia 27 tahun.

Katanya, potensi kesalahan melibatkan penggunaan cap dagangan berdaftar secara salah pada sesuatu barang di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 (ACD 2019).

Kesalahan ini juga dinyatakan di bawah Seksyen 102(1)(c) ACD 2019 dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 102(1)(i) akta yang sama.

“Jika disabitkan kesalahan, premis boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan itu dan bagi kesalahan kedua, boleh didenda tidak melebihi RM30,000.00 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini