comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih RM1.3 juta kompaun kesalahan merokok dikeluarkan pada Mac 2024

Oleh: Fahmi Tajuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan sebanyak 5,549 kompaun bernilai lebih RM1.3 juta pada bulan Mac atas kesalahan merokok.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan mengenai Pencapaian Tindakan Penguatkuasaan dan Perundangan di Bawah Undang-undang Kesihatan Awam bagi Mac tahun ini, sejumlah 8,926 notis kesalahan telah dikeluarkan melibatkan 18,178 premis.

Katanya, penguatkuasaan itu dilakukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004).

Selain itu, bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit Demam Denggi, Dr Muhammad Radzi berkata, sejumlah 3,816 tawaran kompaun bernilai lebih RM1.9 juta telah dikeluarkan dengan purata RM500 untuk setiap kompaun.

“Sejumlah 642 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 95 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM180,600,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 33,473 premis makanan telah diperiksa dengan 124 premis iaitu 0.37 peratus diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini