
KUALA LUMPUR: Polis merekodkan kutipan kompaun sebanyak RM302.43 juta membabitkan 3,820,526 notis saman bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Jumlah itu meningkat hampir 136 peratus berbanding tahun lalu (2022) yang hanya mencatatkan kutipan sebanyak RM127.87 juta sahaja.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, kewujudan aplikasi MyBayarSaman antara penyumbang peningkatan pembayaran saman bagi agensi itu.
“Tahun lalu sahaja melalui sistem MyBayarSaman mencatatkan kutipan sebanyak RM37.59 juta membabitkan 207,217 notis saman.
“Berbeza dengan tahun ini, sebanyak RM169.28 juta membabitkan 2.43 juta saman direkodkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati pembayaran saman melalui aplikasi MyBayarSaman bagi tahun lalu sahaja membabitkan 1,338,956 pengguna.
“Bagi tahun ini pula (setakat Ogos) kita merekodkan sebanyak 1,106,734 pengguna melunaskan bayaran mengikut aplikasi itu,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, pihaknya mengeluarkan sebanyak 6.44 juta saman bagi tahun lalu manakala pada tahun ini (setakat Ogos) direkodkan sebanyak 1.91 juta saman.
Dalam perkembangan lain, Mat Kasim berkata, kemalangan maut tahun ini sahaja membabitkan 4,366 mangsa, dengan dua pertiga disumbangkan oleh penunggang motosikal (2,641 kematian).
“Kebanyakan mereka adalah remaja berusia antara 14 tahun sehingga 35 tahun.
“Kami dapati motosikal kini menjadi antara medium pengangkutan paling banyak diguna ramai orang awam kerana ia antara kenderaan ekonomi selain pengangkutan awam.
Bagaimanapun, Mat Kasim menegaskan aktiviti pengubahsuaian motosikal dan melanggar peraturan jalan raya adalah ditegah sama sekali sehingga mampu menyebabkan kematian
“Sehingga kini, kita dapat lihat remaja (belum layak miliki lesen) sudah menunggang motosikal untuk ke sekolah, tanggungjawab dari pihak ibu bapa perlu memainkan peranan dalam hal ini.
“Perlu pastikan mereka miliki lesen kenderaan dahulu supaya mereka menunggang dengan selamat dan patuhi undang-undang,” katanya.