comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih RM387 juta diperlukan untuk kerja pembaikan di 531 lokasi cerun runtuh

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendengar taklimat berkaitan Projek Naik Taraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

TEMERLOH: Lebih RM387 juta diperlukan bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan di 531 lokasi cerun runtuh yang dikenal pasti belum dibaiki di seluruh negara, kata menteri Kerja raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Punca kejadian ini biasanya akibat bencana alam seperti banjir dan hujan dan setakat ini 531 lokasi dikenal pasti berlaku cerun runtuh dan kita perlukan dana untuk kerja pembaikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Naik Taraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Mengenai pembaikan cerun di Jalan Bentong Lama-Kuala Lumpur, beliau berkata kira-kira RM6 juta telah diperuntukan untuk pembaikan di tiga lokasi iaitu Seksyen 47.40, Seksyen 42.90 dan Seksyen 57.50.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat 53 lokasi cerun runtuh yang belum dibaiki telah dikenal pasti di laluan berkenaan dan ia memerlukan peruntukan lebih RM51 juta.

Sementara itu, beliau berkata kerja-kerja naik taraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah yang melibatkan kos RM102 juta sudah siap 86 peratus dan akan dibuka kepada pengguna pada Ogos ini.

Beliau berkata projek naik taraf jambatan itu daripada dua kepada empat lorong merupakan sebahagian daripada penyelesaian isu antaranya kesesakan trafik di jambatan sedia ada terutama pada waktu puncak dan musim perayaan selain meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan pengguna.

“Keistimewaan projek ini adalah decking system daripada segmental box girder (SBG) sepanjang 200 meter yang digunakan pada rentang utama jambatan tersebut, iaitu antara yang terpanjang di Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nanta berkata perbincangan akan diadakan dengan pihak berkaitan berhubung kejadian seekor harimau jantan yang dilaporkan mati di KM50.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) semalam.

“Saya difahamkan mungkin ada projek berdekatan dan haiwan itu boleh masuk…kita juga akan siasat kemungkinan pagar di kawasan berkenaan dibuka atau sebagainya sehingga perkara itu berlaku…kita akan meneliti supaya kejadian sama tidak berulang lagi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan harimau jantan dianggarkan berusia empat tahun dengan berat 130 kilogram itu dipercayai datang dari kawasan Hutan Simpan Bukit Tinggi sebelum dilanggar sebuah kereta.

Mengenai isu pencahayaan di Lebuhraya KLK, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah meluluskan projek pelebaran lebuh raya termasuk pemasangan lampu jalan jenis LED dari Genting Sempah ke Persimpangan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Bentong sepanjang 26 kilometer yang kosnya ditanggung syarikat konsesi ANIH Berhad.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini