comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih RM500 juta bina jalan raya pintasan Pengalat-Papar – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada Program Semarak Perpaduan Rakyat Parlimen Papar bersama Perdana Menteri, di Palm Square Kinarut dekat sini hari ini. – FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

PAPAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa peruntukan tambahan untuk projek infrastruktur di kawasan daerah Papar, antaranya Projek Membina Jalan Raya Pintasan Pengalat-Papar yang melibatkan peruntukan RM538 juta.

Beliau berkata selain itu kerajaan memperuntukkan sebanyak RM67 juta untuk Projek Menaik Taraf Jalan Raya Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sungai Kinarut Papar.

“Kerajaan Perpaduan juga meluluskan permohonan terbaru melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), meliputi Projek Sistem Perparitan Bagi Pekan Kinarut dan Taman Sungai Wang Kinarut, serta Projek Naik Taraf Jalan Taman Limauan Kinarut dan Pekan Kinarut ke Kampung Anak Somboy Kinarut,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Perpaduan Rakyat Parlimen Papar bersama Perdana Menteri, di Palm Square Kinarut dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dan Timbalan Ketua Menteri lll Sabah Datuk Shahelmey Yahya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata semua peruntukan berkenaan merupakan peruntukan tambahan kepada peruntukan sedia ada yang diumumkan sebelum ini untuk rakyat, khususnya di kawasan Papar.

“Ia adalah peruntukan tambahan yang dipohon oleh Armizan khususnya untuk orang Papar dan saya berharap ia dapat memberi keselesaan kepada rakyat di kawasan ini,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini