comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lebih RM500,000 kompaun terhadap peniaga ayam, telur – KPDNHEP

 

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun berjumlah RM534,200 kepada pengeluar, pemborong dan peruncit atas beberapa kesalahan menjual ayam dan telur sejak 5 Februari hingga semalam.

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof berkata kompaun membabitkan 2,205 tindakan kes, masing-masing terhadap 13 pengeluar, 54 pemborong dan 2,138 peruncit, yang melakukan tiga kesalahan iaitu menjual ayam dan telur melebihi harga maksimum, tiada tanda harga merah jambu dan tidak meletak tanda harga.

Beliau berkata, nilai sitaan pula berjumlah RM336,634.80 iaitu masing-masing RM27,342.30 bagi pemborong dan RM309,292.50 bagi peruncit.

“Seramai 153 peniaga didapati menjual ayam dan telur melebihi harga maksimum; 1,980 gagal mempamerkan tanda harga merah jambu, manakala 72 tidak meletakkan tanda harga.

“Daripada jumlah itu, bagi telur ayam, seramai 22 peniaga didapati menjual melebihi harga maksimum bagi telur gred A, B, dan C; seramai 1,654 peniaga tiada tanda harga merah jambu dan 38 peniaga tidak mempamer tanda harga,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 142,019 pemeriksaan dilakukan, selain 223 aduan diterima KPDNHEP.Katanya, kes tertinggi dilaporkan di Perak dengan 272 kes, diikuti Kelantan (270), Kedah (268), Johor (244), Selangor (182), Pahang (174), Sarawak (173), Sabah (148), Negeri Sembilan (117) dan Melaka (102).

Pada masa sama, beliau menasihatkan pengguna untuk membuat aduan yang terperinci berkenaan tempat dan lokasi jika mendapati peniaga melanggar peraturan dan undang-undang, termasuk antipencatutan.

“Kita minta kerjasama semua pihak, berikan data maklumat yang betul, kita tiada masalah tapi mahu lebih terperinci dan jelas supaya dapat terus dilakukan pemeriksaan di tempat yang diadukan berlaku kekurangan bekalan atau kenaikan harga.

“Kadang-kadang ada tempat yang diadu, bila pegawai pergi siasat, memang sebelah pagi stok barangan keperluan harian sentiasa sampai tapi cepat habis, jadi untuk menambah semula bekalan kadang kala mengambil sedikit masa.

Apapun, jika benar berlaku seperti diadukan, tindakan memang diambil,” katanya.

Semalam, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam, memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan penjualan telur ayam didakwa mencecah RM17 satu papan seperti dilaporkan media.

Loading...
Terkini