comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih separuh jemaah Malaysia selesai sempurnakan ‘nafar awwal’

Jemaah haji berduyun-duyun melontar di ketiga-tiga jamrah iaitu Jamrah Sugra, Wusta dan Kubra sebagai simbolik merejam syaitan.- FOTO: Reuters

MAKKAH: Lebih separuh daripada 31,600 jemaah haji Malaysia musim 1445H/2024 selesai menyempurnakan ‘nafar awwal’ iaitu melontar jamrah lebih awal pada dua dari tiga hari Tasyrik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebahagian jemaah lagi akan melaksanakan ‘nafar thani’ iaitu melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik sehingga esok.

“Alhamdulillah, hari ini sebahagian besar jemaah haji Malaysia menyempurnakan nafar awwal dan mereka akan mula bergerak ke Makkah menaiki bas untuk membuat persediaan pulang dengan penerbangan pertama 24 Jun ini,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata, segala proses melontar bagi semua jemaah haji terutama dari Malaysia berjalan lancar setakat ini.

Hari tasyrik merujuk kepada hari ke-11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah mengikut kalendar Islam Hijrah.

Pada hari-hari berkenaan, umat Islam yang melakukan ibadah haji akan menyempurnakannya dengan melontar di ketiga-tiga Jamrah iaitu Jamratul Sughra, Jamratul Wusta dan Jamratul Qubra, selain Jamratul Qubra pada 10 Zulhijjah.

Melontar adalah perkara wajib haji keenam selepas bermalam (bermabit) di Mina pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Jemaah haji Malaysia sebelum ini bergerak ke Arafah secara berperingkat bermula pagi 8 Zulhijjah 1445H bersamaan 14 Jun lalu untuk berwukuf di Arafah iaitu kemuncak haji pada 9 Zulhijah yang jatuh pada 15 Jun. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini