comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki 61 tahun hilang sejak Jumaat

Anggota bomba menjalankan operasi mengesan lelaki warga emas yang hilang sejak Jumaat lalu di sekitar kawasan kolam ikan di Bingkor, Keningau. – FOTO: JBPM

KENINGAU: Seorang lelaki berusia 61 tahun dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu di kawasan kolam ikan di Bingkor, di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan ke lokasi sebaik menerima aduan jam 2 petang tadi.

Katanya, pasukan itu mendapat bantuan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mengesan warga emas berkenaan.

“Namun mangsa belum sehingga operasi ditangguh pada jam 5 petang tadi dan akan disambung semula pagi esok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, adik lelaki itu memberitahu abangnya selalu mengalami kekejangan otot dan sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah.

“Kali terakhir abangnya dilihat pada Jumaat lalu di lokasi terakhir di kolam ikan berkenaan. Pekerja kolam juga menemui jaket warna hitam, telefon bimbit, ‘power bank’ dan gergaji.

“Adiknya bersama pengusaha kolam berusaha mencari di sekitar kolam, namun gagal menemukan lelaki terbabit sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan,” katanya.

Difahamkan, mangsa bekerja di kolam ikan berkenaan.

Loading...
Terkini