PETALING JAYA: Seorang lelaki membawa anak berusia empat tahun ke sarang dadah bagi mendapatkan bahan terlarang antara yang ditahan dalam serbuan Ops Perdana siri 4/2024 di sekitar Klang, semalam.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor, Nazir Mohamad berkata, lelaki itu antara 139 individu disyaki penagih dadah ditahan menerusi Ops Perdana yang dijalankan di tiga daerah iaitu Petaling, Klang dan Sepang semalam.
“Seramai 148 orang diperiksa dalam Op Perdana ini dan daripada jumlah itu hasil ujian saringan awal mendapati 139 daripada mereka positif dadah.
“Mereka yang ditahan berusia lingkungan 13 hingga 61 tahun membabitkan 131 lelaki manakala lapan wanita,” katanya pada sidang media di Bangunan Persekutuan, di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil saringan awal mendapati 99 individu ditahan positif dadah jenis methamphetamine, 33 orang (opiat), dan tujuh orang (ganja).
Katanya, objektif utama operasi itu dilaksanakan adalah bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di lokasi-lokasi yang sudah dikenalpasti.
“Operasi ini dijalankan bagi membersihkan port yang menjadi sarang penagihan dadah selain menyediakan persekitaran bebas dadah bagi menjamin pelaksanaan program pencegahan oleh AADK dan pihak lain lebih efektif.
“Operasi ini juga dilaksanakan selaras hasrat ‘Dadah Terkawal 2025’ dapat direalisasikan selari dengan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang diluluskan baru-baru ini,” katanya.
Mengulas berhubung pindaan baharu berkenaan beliau berkata, AADK kini mula mengesan dan menahan mereka yang menyalahgunakan air ketum dan bahan psikotropik terkandung dalam cecair vape serta penghidu gam.
Katanya, ia bagi membolehkan individu berkenaan diberikan rawatan pemulihan yang bersesuaian yang disediakan AADK.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.