Tumpuan :
Nasional

Lelaki bergaduh di kedai baiki motosikal ditahan

Tangkap layar video tular kes pergaduhan di premis membaiki motosikal

KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di rumahnya di Karak, Bentong semalam bagi membantu siasatan kes pergaduhan di premis membaiki motosikal yang videonya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku pada 8.50 malam Isnin lepas daripada seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga pekerja premis berkenaan.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati terjadi pertengkaran mulut antara pekerja berusia 20 tahun itu dengan suspek sehingga berlaku pergelutan apabila suspek cuba menyerangnya menggunakan pisau.

Bagaimanapun, beliau berkata pergaduhan itu dileraikan oleh orang awam dan pekerja yang lain.

“Siasatan mendapati punca kejadian pergaduhan disebabkan suspek berasa terganggu dengan bunyi bising ekzos motosikal yang ditunggang lelaki (pekerja) itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham berkata semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif daripada penyalahgunaan dadah.

Katanya suspek kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 akta sama.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini