Tumpuan :
Nasional

Lelaki berusia 35 tahun maut dihempap batu kuari

Pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak melakukan tinjauan di kawasan kuari runtuh yang meragut nyawa seorang pekerja di Manjung, semalam. FOTO: NSTP

MANJUNG: Seorang lelaki maut dihempap batu ketika mengendalikan mesin korek di sebuah tapak kuari di sini, semalam.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak menerusi kenyataan berkata, dalam kejadian jam 4.45 petang itu, mangsa berusia 35 tahun yang juga operator mesin korek jenis ‘crawler’ bekerja bersama rakannya yang mengendalikan mesin jengkaut.

Menurutnya, semasa melakulan kerja di muka kuari, batu kuari jatuh dari cerun sebelahan tempat lelaki itu bekerja lalu menghempapnya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Notis pemberhentian serta merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kuari tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Majikan diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan, serta membuat pembentangan kes kepada JKKP Perak.

“Kami juga akan menjalankan siasatan lanjut dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan saksi yang dikenalpasti, serta lawatan susulan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil,” katanya, hari ini.

Menurut kenyatan itu, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Katanya, majikan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum membenarkan pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.

Loading...
Terkini