comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki cedera motosikal dilanggar kereta dinaiki isteri bersama kekasih 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran (kiri) menunjukkan beberapa bahagian badan dan kepala mangsa yang cedera apabila motosikalnya dilanggar kereta dinaiki isteri bersama lelaki lain, Khamis lalu. – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Seorang lelaki cedera selepas motosikalnya dilanggar kereta kekasih isterinya dalam kejadian pada Khamis lalu.

Mangsa, 34, mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika dia cuba menghalang si isteri yang juga warga Vietnam daripada lari mengikut lelaki lain.

“Pada 21 Oktober lalu, isteri ada datang ke salun kami dan pada waktu saya memeriksa telefonnya sebelum mendapati terdapat perbualan dia bersama seorang lelaki terbabit dalam satu aplikasi sembang.

“Saya mengesyaki dia mempunyai hubungan dengan lelaki itu.

”Selepas mengetahui perkara ini saya ajak dia berbincang supaya kami bercerai dan selesaikan semua dokumen termasuk visa dan hal membabitkan salun kami,” katanya ketika ditemui, di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya, P Gunnasekaran.

Lelaki yang dikenali sebagai David itu kata mangsa, turut datang ke salunnya pada hari sama dan mengugut untuk menyelesaikan perkara berkenaan menggunakan gengster.

Bercerita lanjut, mangsa memberitahu, pada malam Khamis lalu isterinya menghubunginya untuk berjumpa di salun di Taman Thivy Jaya, dekat Rasah, bagi membincangkan hal perceraian mereka.

“Sebaik tiba, saya mendapati isteri berada di dalam sebuah kereta manakala lelaki berkenaan di luar kereta. Selepas nampak kami tiba, mereka secara tiba-tiba memecut kereta dan hampir melanggar kawan saya.

“Saya kemudiannya mengejar mereka supaya berhenti untuk berbincang sehingga ke lampu isyarat berhampiran Plaza Tol Port Dickson arah utara sejauh hampir 9 kilometer (km) sebelum dilanggar kereta itu.

“Saya bangun ke arah kereta, namun mereka mengundurkan kereta cuba melanggar saya menyebabkan saya melompat ke atas kereta sebelum terjatuh ke jalan tidak lama kemudian,” katanya.

Jelasnya, akibat kejadian dia mengalami luka pada kepala, kaki, tangan dan badan sebelum dibantu orang awam dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk menerima rawatan.

Mangsa mendakwa, sepanjang perkahwinan dia tidak pernah memukul anak atau isteri, namun kesal kerana wanita terbabit terpengaruh dengan lelaki dikenalinya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan atas kesalahan memikat wanita yang bersuami dengan niat jahat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Faizal di talian 013-3611854 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban 06-6033222.

Loading...
Terkini