comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika angkat bubu

TUMPAT: “Tiga hari lepas suami ada memberitahu enjin botnya rosak namun tetap juga turun ke sungai hari ini sebelum dia didapati hilang di sungai pagi tadi,” kata Zuhaidah Mohamad Salleh.

Zuhaidah, 44, berkata dia mengesyaki kerosakan enjin bot itu menyebabkan suaminya Saidi Che Hasan, 51, terjatuh di Sungai Kelantan di Kampung Kutan Sungai, di sini ketika ingin mengangkat bubu.

“Suami keluar rumah jam 9.30 pagi untuk mengangkat bubu yang dipasangnya dan tidak lama kemudian, saya dimaklumkan suami terjatuh ke dalam sungai.

“Saya bergegas ke lokasi dan ternampak botnya sudah dinaikkan ke darat dan terdapat kesan darah dalam bot itu, mungkin berlaku hentakan daripada enjin rosak itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Zuhaidah berkata, suaminya yang juga pencari udang pandai berenang namun dalam keadaan sebegitu, hatinya tetap berasa gusar memandangkan sehingga kini jasadnya belum ditemui.

Kejadian itu disedari seorang pekerja pam pasir yang ternampak bot milik Saidi hanyut tanpa pemandu dan terus memaklumkan kepada penduduk kampung sebelum pihak berkuasa dihubungi.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Nazri Taib berkata, seramai 13 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) memulakan operasi dan menyelamat (SAR) bermula jam 10.30 pagi tadi.

“Pencarian dibuat sehingga ke satu kilometer (km) radius lokasi mangsa dipercayai jatuh dan PPDA juga sudah membuat selaman namun setakat ini tiada sebarang petunjuk dikesan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini