comscore
Tumpuan :
Nasional

 Lelaki direman 3 hari, disyaki cabul sepupu 15 tahun

Suspek dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas direman berkaitan kes cabul sepupu. – FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Seorang lelaki direman tiga hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan yang juga sepupunya, di sebuah rumah dalam daerah ini, dua tahun lalu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Suhaili Shafi’uddin bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Suspek berusia 27 tahun bekerja di Singapura, ditahan selepas pulang ke rumah di bandar ini, untuk menyambut Tahun Baharu Cina, Ahad lalu.

Penahanan suspek selepas mangsa membuat laporan polis mendakwa dia dicabul suspek pada Jun dan Oktober 2022, ketika mangsa tinggal bersama keluarga suspek selepas kematian ibunya.

Difahamkan, mangsa ditinggalkan bersama keluarga suspek selepas bapanya bekerja sendiri dan tidak mempunyai masa untuk menjaganya.

Ibu mangsa meninggal dunia ketika dia berusia enam tahun dengan kejadian berlaku sewaktu mangsa berusia 15 tahun namun laporan polis hanya dibuat pada Oktober tahun lalu.

Polis cuba mengesan suspek susulan laporan dibuat mangsa namun gagal kerana lelaki itu bekerja di Singapura.

Suspek berjaya ditahan pada Sabtu lalu, dan direman bagi membantu siasatan mengenai kejadian itu.

Loading...
Terkini