comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki ditahan, cuba pecah Mesin Kitar Semula Tunai

Foto hiasan

BESUT: Seorang lelaki yang cuba memecahkan sebuah Mesin Kitar Semula Tunai atau Cash Recycler Machine (CRM) di sebuah bank, di sini semalam, ditahan polis pagi tadi.

Mesin CRM menggabungkan fungsi kedua-dua ATM dan Mesin Deposit Tunai (CDM) yang membolehkan pelanggan melakukan pelbagai transaksi seperti pertanyaan baki, pengeluaran, deposit, pembayaran pembiayaan, pembayaran bil dan pemindahan dana.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata kejadian disedari kakitangan bank kira-kira jam 6 petang sebelum dimaklumkan kepada pegawai bank cawangan berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pengadu (pegawai bank) mendapati dua unit kereta peronda polis sudah berada di hadapan bank dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati pintu ‘cover’ hadapan mesin CRM sudah dipecah.

“Hasil semakan lanjut melalui kamera litar tertutup (CCTV) mendapati (alat penggera) berbunyi dan seorang lelaki dilihat cuba mengumpil ‘cover’ hadapan mesin berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, polis berjaya menjejak dan menangkap lelaki berusia 42 tahun itu di sebuah rumah di Kampung Bukit Rambutan, di sini jam 9.45 pagi tadi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada kakitangan bank, lelaki itu dipercayai kerap kali datang ke bank terbabit untuk menyemak baki akaunnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat. Siasatan awal turut mendapati lelaki berkenaan mempunyai tiga rekod kesalahan berkaitan kes dadah serta keganasan rumah tangga,” katanya.

Loading...
Terkini