Tumpuan :
Nasional

Lelaki ditahan rogol cucu jiran

Suspek ditahan di sebuah rumah di Tawau kerana disyaki merogol kanak-kanak perempuan, Rabu lalu. FOTO IHSAN PDRM

TAWAU: Seorang penyelenggara bangunan ditahan polis selepas disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan yang juga cucu jirannya di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.50 malam susulan laporan polis dibuat oleh mangsa yang ditemani neneknya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan dibuat mangsa yang berusia 13 tahun, dia dirogol dan dicabul oleh suspek sebanyak tiga kali iaitu masing-masing pada bulan Jun (kejadian pertama) dan pada awal serta pertengahan Julai lalu.

“Bertindak daripada laporan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau membuat serbuan ke atas sebuah rumah dan berjaya menahan seorang lelaki lingkungan umur 30 tahun.

“Suspek adalah jiran kepada mangsa yang disyaki terbabit dalam kes rogol sebagaimana yang dilaporkan dan disiasat polis,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Jasmin berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek pernah disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Awam 2012.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini